Tuesday, May 14, 2013

Allah yang mencipta

 
Bismillahirahmanirahim
SubhanAllah Maha Suci Allah yang menjadikan setiap kejadian

Assalamualaikum sahabat blogger yang ku kasih,

Aku bersyukur kerana setiap hari kita  masih lagi diberi kesempatan oleh Allah untuk melihat keindahan alam walau pun dalam kesibukan waktu yang entah untuk apa-apa, banyaknya tentang perihal dunia.

Namun aku gembira kerana kita masih di beri kesempatan oleh Dia untuk kita membaca dan menghayati potongan ayat dari surah Al Quran yang kita sayang .

 
Namun cita-cita aku untuk menulis sedikit pengalaman baru aku tidak dapat aku tunaikan kerana masa yang sungguh cemburu. Semakin berusia dapat aku rasakan banyak  tanggung jawab hamba Allah  yang terpikul di bahu kita semua.
 
Apa tah lagi dengan diri yang dapat aku rasakan tidak "fit ' kala usia 30an, yang kini nak masuk ke alam 50an.

 
Maka adil bahawasanya dan aku sentiasa sedar, demikianlah fitrah semua makhluk serta alam yang Allah cipta, dari pucuk muda, ia  akan tua dan kering serta mati. 

Maka dengan insaf diri marilah kita bersama menghayati sepotong ayat dari Allah Yang Maha Esa
 

Dan Dia lah yang menghantar angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan),hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati, lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu,kemudian kami keluarkan dengannya berbagai jenis buah-buahan.Demikianlah pula kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang yang telah mati,supaya kamu beringat.
(Surah Al A'raaf : ayat 57 )


Mudah-mudahan kita semua insaf diri dan beringat-ingat dengan lidah, mata dan perilaku kita di dunia ini. Terima kasih sudi singgah :-)


Monday, May 6, 2013

Usah bermegah-megah

Assalamualaikum sahabat blogger yang ku kasih,

Kebiasaannya, aku jarang sekali merangka apa yang hendak ku tulis. Maka, bagi pembaca blog ini sudah tentu agak "pening" membaca bahasa aku yang lintang pukang sebab itu ialah "bahasa hati" aku.

Secara peribadi, aku bukan peminat arena politik,di saat ini aku sedang mendengar-dengar di hujung telinga dari pengacara tv,...menunggu, kalau-kalau ada pengumuman  ~ cuti khas 6 Mei 2013 sempena PRU 13. Pada aku siapa pun yang menang atau kalah sepatutnya cuti khas di beri. Pandangan aku adalah atas faktor pengundi yang pulang ke kampung halaman dan ia berlaku hanya 5 tahun sekali.

Dari minggu lepas lagi, rakan aku yang dilantik sebagai petugas SPR di PRU 13, bergelut membuat preparation. Bagi yang dilantik jadi ketua saluran undi  kalut mengisi borang tertentu SPR di celah timbunan buku-buku pelajar yang juga perlukan perhatian.

Aku memang terkeluar dari kategori "part time" apa pun termasuk menanda kertas SPM atas dasar " tidak bercita-cita tinggi dan ingin menjadi "rakyat biasa sahaja".

Namun,kebebasan aku itu berakhir,... apabila, baru-baru ini aku dilantik secara rasmi oleh JPN untuk bertugas secara rasmi, menjadi wakil Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk tugas yang memang aku elak dari zaman aku berkerja di negeri Darul Ehsan. Tugas itu adalah tambahan dari menjadi tugas pendidik.

Suka tak suka aku kena harungi perjalanan rasmi tersebut dengan redha dan semoga Allah bersama-sama aku. Telah pun ku pesan pada mereka yang bakal ku "ziarah" apa kah yang perlu ada, dan "lawatan"aku itu adalah untuk menolong menyelesai masalah jika ada, dan untuk permudahkan amanah mereka yang terpikul dibahu masing-masing.

Aku berdoa pada Allah agar Allah selalu bersama aku,permudahkan urusan aku dengan kawan-kawan lain. Aku akui,.. aku kurang senang mencari kesilapan dan kesalahan apa tah lagi menegur  dan perlu pula diperbaiki diri mereka. Aku insaf kita manusia lemah dan tidak sempurna, tetapi bukan semua manusia suka di tegur kesalahannya.

Aku kena berhati-hati dan berhemah mengguna kata-kata yang sesuai.  Maka sedarlah aku..bukan senang menjadi "tegas pada tempatnya" sebab aku ni mudah "cair dan memaafkan".
Baru-baru ini aku mendapat hadiah yang sangat bermakna dari sahabat aku yang bernama Cikgu Hajah Noraini Abdul Majid yang ku panggil nama Noni. Walau pun aku ada naskah tersebut, namun naskah tafsir Al-Qur'an yang diedar oleh Telaga Biru ini sangat aku suka atas sebab-sebab tertentu. Terima kasih Noni,..dengan bait-bait kata pesan beliau :

Kak Azni cayang,

Al Quran itu cahaya
Al Quran itu kebenaran
Al Quran itu penawar duka
Al Quran itu ketenangan

Sebarkan Al Quran walau pun sepotong ayat
Berdakwah sepanjang hayat
Untuk akhirat

Salam Kasih Nan Abadi ~ Noni

Aku memang suka membaca dan hadiah tafsir Al Quran adalah tepat pada masa nya...disaat anjakan usia yang banyak mengubah persepsi diri aku pada dunia dan kehidupan yang indah ini.

Dengan insaf diri marilah kita hayati :

Surah At Takathuur ( Bermegah-megahan)
Surah ke 102 : 8 ayat

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1. Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba untuk mendapat sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak-pinak,pangkat dan pengaruh)

2.sehingga kamu masuk kubur

3.jangan sekali - kali (bersikap demikian)!Kamu akan mengetahui kelak.
 
4. Sekali lagi (diingatkan) : jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibat yang buruk pada hari Kiamat).

5. Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin.

6. (Ingatlah)! demi sesungguhnya!kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

7. Selepas itu, demi sesungguhnya,kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)".

8. Kemudian kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat ( yang kamu telah menikmatinya).
 
 
SubhanAllah Maha Suci Allah, terima kasih untuk segala nikmat dan anugerah Mu Ya Allah.
 
Sekadar berkongsi ayat yang ku petik dari seorang pujangga
Kita adalah
 
apa yang kita baca
apa yang kita tonton
apa yang kita dengar
apa yang kita lihat
 
Hakikatnya
 
Itulah makanan rohani kita
 
dan
 
mata kita adalah jendela hati
 
Terima kasih pada kalian yang sudi singgah dan menghayati bait-bait kata dari ku.Wassalam.

Wednesday, May 1, 2013

Milik Allah, dan kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Bersyukur dengan nikmatMu

Alam indah dari lebuhraya Kuala Kangsar -Taiping
 
Assalamualaikum sahabat blogger yang ku kasih.
 
Setiap hari kita lalui kehidupan samada secara perlahan atau secara pantas adalah bagaimana kita mengolah dan menangani kehidupan kita itu. Semua manusia secara asasnya ada mata, hati, akal dan perasaan. Apa yang membezakan kita adalah ego. Keimanan sudah pasti perbezaan yang jelas-jelas. 
 
Pertama  kali aku dengar perkataan ego ini adalah masa mula-mula aku bergelar mahasiswa di sekolah seni tempat aku belajar suatu waktu dahulu.
Masa itu era rock kapak tahun 1983, kata aruah abang senior yang berambut afro itu.."adik-adik, abang nak beritau adik-adik,..orang seni ada egonya.
 
Katanya lagi.."yang membezakan kita orang seni ialah, ego itu tinggi atau rendah. Nanti adik-adik akan tau pelan-pelan bila dah mula belajar kat sini"


 Bunga tanjung yang sungguh  menawan gugur di seberang jalan rumah ku pagi ini
 
Aku tamat belajar di sekolah seni tersebut adalah pada tahun 1987. Aku mula berkerja di sebuah kilang antarabangsa terkemuka dan Allah beri aku peluang naik kapal terbang, tengok awan terapung -apung,dan dapat lihat negara yang menjajah kita pada tahun yang sama. Bermakna aku mendapat nikmat dari Allah lebih awal dari rakan-rakan sama belajar di sekolah seni. Aku tidak berniat takjub diri,.maafkan aku wahai Tuhan.. 
 
Apabila aku bertukar kerja menjadi orang muzium, banyak sungguh milik Allah dapat ku nikmat dan lihat. Apatah lagi dengan title orang yang menjaga bahagian pameran ilmu kejadian, bagai pucuk ulam mendatang. Masuk keluar hutan dan berjumpa pelbagai rakyat jelata.....dari orang kampung, polis hutan, perhilitan, orang galian, orang asli, kenyang aku berjalan merata hutan di negeri Darul Ehsan. Aku  melihat indahnya alam milik Allah yang asli dari mata mentah dan muda. 
 
Cuma yang tercicir pada ketika itu ialah,..
 
masa itu aku tidak bercita-cita langsung memetik lensa kamera merakam apa yang ku lihat. ... sebab tidak memiliki kamera dan tiada kecenderungan untuk membeli kamera.
 
walhal, kamera Nikon arwah kak Azlina sangat mahir aku gunakan semenjak dari usia aku 15 tahun.
Namun aku bersyukur dengan nikmat Allah itu.
 

 Pakis hijau ini sungguh cantik dan kelihatan tembus cahaya di bengkel usang sahabat kami yang bernama Sa'aya, pengusaha seramik di kampung Karai
 
Masa aku buat keputusan berhenti kerja muzium, aku menangis sungguh-sungguh. Hingga kini aku masih ingat lagi muka kawan-kawan muzium aku, terutama Pengarah muzium aku yang bernama Encik Paiman Keromo. Dengar-dengar beliau kini berkhidmat di Muzium Selat Teberau.
 
Demikianlah telah tertakdir perjalanan hidup aku yang akur dengan perjalanan yang telah disusun oleh Allah SWT.
 
Berkhidmat di enam buah sekolah selama 23 tahun dengan diberi kerajaan tiga kali anugerah cemerlang bukanlah perkara yang melayakkan aku berbangga untuk apa pun.,kerana aku tak semengah mana. 
 
Sebenarnya aku sangat malu dengan anugerah itu, yang aku rasa tidak layak. Ia di dasari atas kerja dunia yang dinilai oleh manusia yang ada strength and weakness. 
Pujian dan anugerah hanya layak  diberi oleh Allah sahaja. Terlalu banyak perkara yang aku lalai dan leka. Paling aku takut ialah perasaan takjub diri dan riak.
 
Cita-cita dan matlamat aku didunia setakat ini belum sampai lagi. Aku teringin sangat nak duduk tenang-tenang di satu tempat dimana dapat aku tinggal dalam kawasan yang sedang-sedang sahaja. Aku nak berjalan kaki dikawasan tersebut dengan pakaian Allah dan belajar ilmu-ilmu agama dengan ustaz yang berkarekter seperti ustaz Kazim yang sederhana dan merendah diri. SubhanaAllah, Maha Suci Allah alangkah bahagianya jiwa apabila dapat hadiah sebegini dari Allah.
 
 
 
Sarang labah-labah kelihatan tenang-tenang sahaja menjalur-jalur antara daun ke batang yang sempat ku curi pandang semasa melihat hujan berhenti dari bengkel Sa'aya di Karai.
 
MasyaAllah, SubhanAllah Maha Suci Allah Tuhan Yang Pengasih lagi Penyayang, semoga cita-cita tinggi aku itu terkabul oleh Mu sebelum aku menutupkan mata di dunia yang indah ini. Semoga ajal ku kelak dalam keadaan yang baik, bersangka baik dan baik-baik belaka. Insyallah..mudah-mudahan..Amin.