Showing posts with label Family Matters. Show all posts
Showing posts with label Family Matters. Show all posts

Wednesday, June 20, 2012

moh nasi baryani ganu weh..,terima kasih wieda n famili

 Al kisahnya...
Arakian,.maka dengan izin Allah,. perjalanan dari Kelana Jaya bermula dari jam 9.30 pagi telah selamat sampai ke destinasi yang dituju, iaitu Dungun indah pada kira-kira jam 3.00 petang.
Kami telah dijemput untuk  makan tengahari,. tetapi telah pun masuk waktu menghampiri petang,. oleh keluarga kenalan pantai timur Wieda n famili. Terima kasih Wieda!
Ini ialah  mak kesayangan Wieda. Beliau seorang ibu yang pengasih dan merupakan staff nurse di Hospital Dungun.

Pada hari itu beliau sangat berbesar hati untuk menjamu tetamu kenalan anakandanya dengan specialiti nya yang bertajuk : Nasi Baryani Trengganu.
 Inilah rupa paras nasi baryani Trengganu yang indah menawan...,berasnya halus dan sangat cantik.
Diikuti dengan sang penggoda yang juicy dan manis iaitu buah semangka not buah nangka ya,atau nama popularnya buah tembikai o watermelon...oooooo..
 Then..this is a ..dalca yang ada variety of vegetable yang manis dan lembut,sangat sesuai untuk orang-orang seperti ai lah..masuk era orang lama..alamak!
 Ayam...hmmm..ayam berempah. Ini ialah cap ayam daging, maka adalah sesuai dimasak begini.
 Then... jelatah orang pantai timur. Simple n sedap.
Ini pula ialah ayam masak merah ~ cap ayam kampung., bagi mereka-mereka yang dah kekurangan gg sila fikir beberapa kali sebelum bercita-cita untuk makan.
 ...yang ini..... i like..acar buah!

my always favourite jika ada nasi minyak o nasi baryani dan sewaktu dengannya.

Thank you to Wieda yang telah menjadi jurufoto mengganti mak usu yang kelihatan sibuk untuk memulakan santapan.
 Amboi...sebelanga u...terima kasih mama wieda,sedap...kita suka
 Mak senyum je perhatikan anak bongsunya yang ramah dan tamah bersembang dengan mama wieda
 moh kita ambil foto kenangan..yeah..1....
 2.......
 3...!senyum
 ala..lala..comelnya anak bongsu mak ni,muka baby
 Hai..sayalah wieda...hihi (si ayu yang bertudung biru tu lah )
Terima kasih daun keladi to Wieda n famili, ada rezeki bolehlah kami g ganu lagi.

bersambung....

Saturday, January 29, 2011

Waris Emas

Dekni & Yem
dipertemukan oleh Allah Taala
Waris emas dekni
Dari kiri : Pak Man, Pak Tam & Pak Sudin

Hidup ini adalah satu anugerah Allah. Pahit, manis, kelat semuanya di lalui satu persatu.

Ada kalanya kita di lambung ombak gembira, terkadang di landa musibah dan ujian.

Siapakah kita untuk mempersoalkan apa yang telah Allah rencanakan.

Kiranya kita rasa kita sudah merancang apa yang kita hendak dalam hidup, Tuhan lebih tahu apakah yang terbaik untuk hidup kita.

Seperti yang pak menakan dekni ingatkan..

Kita merancang kehidupan, tapi Perancang terhebat ialah Allah Taala. Dia lah arkitek, engineer yang tahu apakah yang terbaik untuk hidup manusia.

Terima kasih waris emas dekni kerana sering memandu perjalanan hidupku. Semoga Allah memberi yang terbaik dunia dan akhirat untuk semua kaum muslimin dan muslimat di dunia ini.

Nilai kehidupan datang bergelombang seperti ombak, tapi akhirnya yang pasti

Cinta kita pada yang Esa

Terjemahan kehidupan yang puitis

layan.............











Saturday, October 17, 2009

NASI TIDAK BERGARAM..




Allahyarham Haji Mat Isa bin Hassan
Kopral 28827
Balai Polis Cheras Kuala Lumpur


Di Pusara abah Kelana Jaya Hari Raya pertama 2009

Mak, Nelfi Husna, Zulaika Ibrahim, Azani Ibrahim, Amri Ibrahim, Ibrahim Don, Dekni dan Kak Azizah

( Ari Ikmal anak sulung Kak Zah adalah si tukang gambar.)

Tuan Techno menjadi Ketua Keluarga Allahyarham Tuan Haji Mat Isa sekarang


Hari Konvokesyen Dekni di Putra World Trade Centre 87


NASI TIDAK BERGARAM.. didedikasikan kepada seorang lelaki yang sangat besar jasanya mendidik anak -anak yang kami panggil Abah........


Abah dan Dekni 1978

Kami sekeluarga tinggal di Berek Polis Jalan Cheras Kuala Lumpur.
Abah bertugas dibahagian kaunter laporan aduan jenayah dan Bit Radio Car ( Polis Peronda).

Walaupun berperwatakan tegas, abah tidak meninggikan suara bila marah, apatah lagi mengeluarkan kata2 kasar . Jika abah marah dia akan diam, dan kami pun akan faham. Mak yang banyak mencubit dan meleteri kesalahan kami.

Selepas tamat bertugas, abah akan membantu emak menyediakan juadah jualan yang diletak pada mamak kantin Polis dan Kedai Kopi Cina Pudu. Menunya nasi lemak bungkus, kuih koci, karipap, kuih kaswi. Gaji abah semasa menjadi polis biasa ialah RM250.00

Dekni pernah tanya " Abah, kenapa anak abah 3 sahaja"
Abah jawab "kita memakai baju, ukurlah dibadan sendiri" "Jika dekni ada anak2 nanti, pastikan semua telah selesai bersekolah tinggi sebelum adik pencen"



Bendang sawah Kampung Parit, Perak

Mak abah yang kami panggil Tok Yah (Zawiyah) berpisah dengan suaminya dan tinggal bersendirian di Kampung Parit, Perak
Abah dibesarkan dengan bersawah padi dengan maknya seawal usia abah 8 tahun. Keperitan hidup abah dan adik2nya semasa zaman kanak-kanak membuatkan abah menanam cita2, sekiranya mempunyai keluarga ,abah akan pastikan anak isterinya cukup makan pakai walaupun tidak mewah.

Oleh kerana itu abah telah berkorban hanya memiliki sebuah motor vespa BS 1083, walau pun abah mampu membeli sebuah kereta. Semua ini semata2 untuk memastikan wang perbelanjaan rumah dan tanggungan belajar anak-anak berjalan lancar.


Tok Yah


Hari Raya 1983

Abah dengan isteri, anak2 serta mertua
( Kak Azizah tiada bersama didalam gambar ini)


Hobi abah ialah menanam bunga orkid. Beratus spesies orkid di gantung sepanjang kakilima rumah dan dipasang pula di palang panjang tengah. Abah juga membela 2 ekor ikan bulan, 1 ekor ikan arowana, 2 ekor kucing siam, 1 ekor burung tiong, 1 ekor burung kakak tua, dan 4 ekor burung merbok.

Dekni ( Tingkatan 5 ) di Berek Polis Blok D tingkat 4 dilatari dengan orkid abah


Rumah kami di tingkat 4 di merdukan dengan putaran lagu2 dari rekod kegemaran abah dari piring hitam tebal cap kepala anjing, hingga lah kepada koleksi rekod dari Pop ye yeh, keroncong, ghazal, arab dan berbagai lagi.

Abah minta mak menghias ruang tamu kecil kami dengan skima warna hijau lembut. Abah suka kan ketenangan dan tidak serabut mata yang memandang.Apabila ada peluang, abah akan ke pasar dengan mak . Abah memastikan hanya makanan segar yang dimasak untuk sajian keluarganya.

Apabila dekni semakin dewasa, dekni mula faham semua yang abah buat adalah bagi menebus semula kekurangan yang abah tidak dapat nikmati semasa zaman kanak2 nya. Abah rajin bercerita tentang kesusahan hidup lampaunya pada dekni kerana abah mempunyai alasan tersendiri..

Nama anak-anak abah bermula dengan pangkal huruf A..Ahmad, Azlina, Azizah dan Azni. Kata abah " Kalau di sekolah atau di mana sahaja urusan, nama A akan di depan " Nama timangan Dekni itu abah yang beri sebagai tanda Azni anak bongsunya.
Hari Raya di Bagan Serai dengan Pengantin Baru

Abah gembira bermenantukan Abang Judd (suami aruah Azlina yang memakai kurung pink ) yang berasal dari Taiping, Perak. Katanya.. dapatlah abah selalu ikut balik ke kampung Perak atau mendengar perkhabaran orang2 kampung. Aruah kak ina yang paling banyak mengenali saudara mara sebelah abah kerana kerap ke sana dan menyambung silaturahim.

Gambar kenangan abah dan dekni Hari Raya 83

(Permintaan abah minta dekni pakai baju melayu nikahnya. Abah mempunyai unsur humor yang tinggi dan suka bergurau dengan isteri, anak2 serta sahabat rapat)

Abah teringin anak lelaki, tapi abang sulong kami tidak panjang umor..meninggal dunia selepas di lahirkan.Oleh kerana abah tiada anak lelaki, maka dekni lah anak yang terhampir dan di besarkan dengan stail lelaki.

Pengaruh ini meninggalkan kesan yang agak mendalam, kerana abah mendidik dekni menjadi lasak mental dan fizikal. Semasa dekni menunggu keputusan exam spm, kami akan menaiki vespa BS 1083 ke kebun sayur dan buahnya di Puchong Selangor .Kami bergilir2 menggunakan parang dan mesin rumput untuk menebas semak yang naik. Dalam tempoh itu banyak yang dekni pelajari dari abah tentang makna kehidupan.

Di hari pernikahan dekni dan Tuan Techno

Kelihatan mempelai lelaki bersedia untuk melepasi upacara akad nikah


Tuan Haji Mat Isa dan Tuan Haji Mohd Don

Bak (abah ) Johor adalah Imam Masjid Simpang Lima , Batu Pahat Johor

Tanda Restu

Pesan abah pada dekni..." walau bagaimana kaya dan sayang suami dekni pada dekni nanti..abah sebagai seorang lelaki nasihatkan adik..jangan sekali2 melepaskan kerja yang adik sandang..biarlah bergaji kecil sekali pun..sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan..."


Pengantin Baru

Pesan abah lagi ..." Jaga keperluan suami terutama di tempat tidur, jika baik layanan insyallah bertahan rumah tangga, abah doakan adik bahagia dunia dan Akhirat dengan Ibrahim.."
.." Hormati ibu bapa mertua"



Majlis Bertandang di rumah mertua Batu Pahat, Johor

"Bila sudah nikah ..taat pada suami dekni, bersabar dengan pancaroba rumah tangga, kerana dua orang dari didikan dan latar yang tak sama, mesti ada perselisihan dalam mencari satu persetujuan "

Dekni dan abah ziarah anak rakan lama abah di Sungai Congkak

Dekni sedang mengandungkan cucu abah yang ke 9
Dekni tanya abah.."Cukup ke 3 orang anak bah...Abah jawab...kalau 4 lagi cantik.."
Di rumah besan Johor Wak Don Simpang Lima, Batu Pahat Johor

Selepas pemergian aruah kak ina ke Rahmatuallah pada tahun 1999, abah dan mak selalu berdukacita. Bermula tahun 2000 abah memulakan siri penjelajahannya bersama kami mencari orang2 penting dan kawan2 lama nya. Semasa ini kami singgah semalam dalam perjalanan ke Mersing Johor. Mersing tempat mula-mula abah dan mak tinggal selepas di ijab kabulkan.
Abah bersama wanita yang dicintainya..Rafeah Mohd Noor

Semasa muda mak bercerita, abah menyisirkan rambut mak yang panjang dan menyanggul atau menocangkannya. Kain pakaian mak di pilih oleh abah dan mereka sama2 mereka fesyenkan pakaian tersebut.
Mak adalah wanita yang bertuah di dunia kerana bersuami kan seorang lelaki yang bangun jam 4 pagi dan masak nasi bersahur untuk keluarganya pada bulan Ramadzan.

Selepas pencen abah menjadi siak dan tukang azan surau di Kelana Jaya. Suara merdu abah akan berkumandang mendayu-dayu terutama semasa azan Maghrib.

Di pusara anak sulong abah, Allahyarham Ahmad tahun 2000
Mersing Johor

Pertengahan tahun 2000 abah mula sakit yang tidak dapat dikesan . Ujian2 dan scanning di 2 hospital awam dan 1 hospital swasta dibuat tanpa jemu. Keadaan ini berlarutan, sehinggalah pada awal tahun 2002 abah disahkan menderita sakit " Lymphoma Cancer ".

Universiti Hospital 2002

"Lymphoma Kanser" juga dikenali dengan nama Kanser darah.Terdapat segumpalan kanser yang aktif ditulang belakang abah. Semasa berita ini di khabarkan oleh doktor pakar yang merawat , mak, kak izah dan dekni terkedu dan saling berpelukan mencari kekuatan hati

Mengenang kembali kesedihan yang dilalui bersama aruah kak ina... betapa sukarnya sekali lagi kami bertiga beranak akan mengharungi saat2 getir melihat penderitaan orang yang di sayangi. Sememangnya ia adalah ujian dari Allah SWT dan kami redha dan pasrah.

Benarlah kata abah suatu ketika dulu .." Bila ibu bapa sudah tiada di dunia, kita makan nasi berlauk tapi tanpa garam, semuanya terasa hambar.." Allah menarik nikmat kegembiraan manusia ada sebab2nya. Hikmahnya yang terbesar ialah membuka Hijab kita supaya mengingati Kebesarannya dan patuh kepada suruhanNya dan menjauhi larangannya. Manusia hanya merancang, tetapi perancang Yang Terhebat ialah Allah. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambanya.

Abah menghembuskan nafasnya yang terakhir di temani 3 insan penting dalam dirinya dan menutupkan matanya di dunia pada jam 9.15 pagi bertarikh 10hb 7 tahun 2002

Sesungguhnya Abah adalah anugerah yang terbaik pernah Allah beri kepada kami.
............

Dekni sentiasa berdoa..mudah2an dapat bertemu semula abah kesayangan kami di Laman Akhirat. Walau banyak mana pun tumpah air mata dekni , tidak akan dapat mengembalikan semula zaman kegembiraan dekni bersama abah.

He is the best ever man that really understand the meaning of love towards family. Abah....yang pasti dekni sentiasa merindui abah..Al Fatihah



Bismillah hir rah man nir rahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam,

Tuhan yangberkuasa mematikan sekalian yang bernyawa,

Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik

dan siapa yang kecewa.

Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk

menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada

orang yang masih hidup.

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa,

melainkan zat Allah Taala.

Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasamenghukum,

manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat AllahTaala.


Wahai Mat Isa bin Zawiyah, wahai Mat Isa Bin Zawiyah, wahai Mat Isa Bin Zawiyah,

hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa

bersama-sama dari dunia ini.

Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.

Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya

melainkan Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai Mat Isa Bin Zawiyah, apabila datang kepada kamu 2 orang

malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir,

maka janganlah berasa gentar dan takut,

janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.


Ketahuilah wahai Mat Isa Bin Zawiyah, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba

Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.

Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.

Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu?

Siapakah Nabi kamu?

Apakah agama kamu?

Apakah kiblat kamu?

Siapakah saudara kamu?

Apakah pegangan iktikad kamu?

Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan

sehabis-habis terang, tepat dan betul.

Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah,

biarlah tenang dan berhati-hati.

Hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,

Muhammad nabiku,

Islam agamaku,

kitab suci Al-Quran ikutanku,

Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan

Ramadhan,mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.

Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,

bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah

Muhammaddur rasulullah".


Wahai Mat Isa Bin Zawiyah tetapkanlah hatimu,

inilah dia suatu dugaan yangpaling besar.

Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh,

sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula

untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai Mat Isa Bin Zawiyah, bahawa senya mati ini adalah benar,

soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar,

bangundari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,

berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar,

dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar,

minum di kolam air nabi adalah benar,

ada syurga dan neraka adalah benar.

Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya,

begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan

hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati

kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang

seorang diri di dalam kubur ini.Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan

dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa

mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham

dulillahi rabbil alamin. Amin


Semoga Abah sentiasa dibawah Naungan Rahmat Allah SWT

" Ya Allah, ampunilah aku dan kedua orang tuaku
sayangilah mereka berdua
sebagaimana mereka berdua menyayangi ku di waktu kecil "

(QS Al-Isra':24)

Monday, October 12, 2009

SKETSA RINDU YANG PANJANG

Allahyarhamah Azlina binti Mat Isa
AD 77 Graphic Department
dengan anakanda bongsu Syazwina Ahmad Tajuddin

Aruah menghembuskan nafasnya yang terakhir
di pangkuan aku
GHKL Wad 12
petang Khamis jam 4.15 petang bertarikh 10/12/1999
1 Ramadan
pada usia 40 tahun

Tarikh Lahir 12/10/1959




SKETSA RINDU YANG PANJANG

Bahawasanya
Rakaman rindu in mengamit resap diminda
dengan salam sejahtera
dan selamat berangkat butir-butir syahdu dan duka
Melimpah dalam hening petang
meratap resah
saat lelapmu
pedih
dan
sendu
mengiringi perjalanan pulangmu

Ku rangkum jua dalam basah kasih sayang
mengiringi ratib dan sekalung Al fatihah
Menjemputmu beradu dalam lena yang panjang

Belayarlah
dengan usapan angin rahmat
menyempurnakan pengabadian di Pulau Persinggahan

Biar ku simpul gema tasbih
menyirami rindu
di titisan hari terakhir ini
Moga membenihkan mimpi Syurgawi
dengan harum kemboja
mengelopak seri cahaya

tafakurlah dirimu dengan nyenyak di kelambu Allah
dengan asuhan malaikat di jambangan suasa
sementara
menanti-nanti waktu akhir
melengkapkan insaf diri
menemui mu di Laman Baru

Al Fatihah
Penulis sajak - Anonymous


Slip pas pelawat yang aku perolehi semasa menemani hari terakhir Allahyarhamah. Pada tarikh blog ini ditulis, ia merupakan tarikh lahir aruah iaitu 12/10..manakala tarikh kembalinya kepada Pencipta 10/12. Allah itu Maha Besar dan Maha mengetahui. Terima kasih Ya Allah kerana memilih ku melihat kebesaranmu.



10 hari terakhir aruah tinggal bersama aku merupakan detik keimanan untuk dikenang..

Kekhusyukannya dalam solat dan keredhaan dirinya pada kesakitan yang ditanggung membuatkan aku selalu menangis sendirian samada semasa berada dibelakangnya atau semasa aku masak makanan kegemarannya di dapur.

Bila aku tanya bagaimana rasanya sakit kanser ini, sambil tersenyum aruah menjawab seperti anggota badan dicucuk dengan berjuta pin yang tajam..

..melihat proses kimoterapi yang mengugurkan rambut panjang mengurainya membuatkan aku menyeka airmata, apatah lagi melihat aruah muntah berkali2..cukup lelah dan menguji dirinya.

Aruah adalah lambang seorang wanita, isteri dan ibu yang sangat tabah. Kasih sayang nya sentiasa mengalir hingga saat akhir...hinggakan semasa aku memangkunya bersendirian di katil 27 itu..aruah tidak henti melemparkan senyuman dan memohon kemaafan kerana menyusahkan aku...

Sambil mengelap peluh yang tak henti2 keluar dari liang2 romanya seiring ku bisik ucapan lembut kalimah Syahadah ketelinganya. Keadaan ini berlarutan sehingga lah aruah mengeluarkan buih2 putih yang terakhir dari mulutnya sebagai tanda rezekinya telah terhenti dibumi ini..

Hati rasa tersayat pilu mengenangkan betapa jam 3.00 hingga 4.15 petang itu masih terlalu baru dan basah diingatan. Namun begitu aku bersyukur ke hadrat Illahi kerana pada saat akhir aruah menghembuskan nafasnya, aku terpilih untuk menemani seorang insan istimewa.

Menyaksikan Rahsia Allah SWT ketika itu benar2 menginsafkan diri ...semua itu akan terlipat dalam sejarah hijab Allah kepada aku.

petikan buku....


..Hidup ini bagaikan suatu pengembaraaan dalam menuju destinasi terakhir. Setiap detik dan langkah merupakan persiapan untuk menilai suatu perjalanan.Kesedihan dan tangisan mewarnai dilema kehidupan begitu juga senyum dan tawa menghiasi masa yang ceria. Terlalu banyak duri yang menikam, gelombang yang menghempas dan dinding yang menghalang . Kadangkala ramai yang tewas dalam menempuh pengembaraan ini. Kematian itu suatu kepastian, datangnya tidak pernah diundang...



Buku Menuju Alam Barzakh ini menjadi rujukan dan pendamping aku semasa mencari jawapan2 pada persoalan itu.
 
Rahmat Allah mengizinkan aku menyaksikan sendiri saat2 akhir roh terpisah dari jasad. ...
....mereka yang melalui saat getir, melihat roh insan tercinta terpisah dari jasadnya, yang akan faham..betapa pilunya hati, mengingati kembali saat2 perpisahan itu. Mudah-mudahan roh Allahyarhamah Azlina Haji Mat Isa dan roh kaum muslimin dan muslimat sentiasa di bawah Naungan Nya. Al Fatihah.


Terima kasih kepada para pembaca budiman yang sudi menghayati tulisan ini
Semoga kita menjadi insan yang berjaya didunia dan diakhirat

Amin