Wednesday, May 1, 2013

Milik Allah, dan kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Bersyukur dengan nikmatMu

Alam indah dari lebuhraya Kuala Kangsar -Taiping
 
Assalamualaikum sahabat blogger yang ku kasih.
 
Setiap hari kita lalui kehidupan samada secara perlahan atau secara pantas adalah bagaimana kita mengolah dan menangani kehidupan kita itu. Semua manusia secara asasnya ada mata, hati, akal dan perasaan. Apa yang membezakan kita adalah ego. Keimanan sudah pasti perbezaan yang jelas-jelas. 
 
Pertama  kali aku dengar perkataan ego ini adalah masa mula-mula aku bergelar mahasiswa di sekolah seni tempat aku belajar suatu waktu dahulu.
Masa itu era rock kapak tahun 1983, kata aruah abang senior yang berambut afro itu.."adik-adik, abang nak beritau adik-adik,..orang seni ada egonya.
 
Katanya lagi.."yang membezakan kita orang seni ialah, ego itu tinggi atau rendah. Nanti adik-adik akan tau pelan-pelan bila dah mula belajar kat sini"


 Bunga tanjung yang sungguh  menawan gugur di seberang jalan rumah ku pagi ini
 
Aku tamat belajar di sekolah seni tersebut adalah pada tahun 1987. Aku mula berkerja di sebuah kilang antarabangsa terkemuka dan Allah beri aku peluang naik kapal terbang, tengok awan terapung -apung,dan dapat lihat negara yang menjajah kita pada tahun yang sama. Bermakna aku mendapat nikmat dari Allah lebih awal dari rakan-rakan sama belajar di sekolah seni. Aku tidak berniat takjub diri,.maafkan aku wahai Tuhan.. 
 
Apabila aku bertukar kerja menjadi orang muzium, banyak sungguh milik Allah dapat ku nikmat dan lihat. Apatah lagi dengan title orang yang menjaga bahagian pameran ilmu kejadian, bagai pucuk ulam mendatang. Masuk keluar hutan dan berjumpa pelbagai rakyat jelata.....dari orang kampung, polis hutan, perhilitan, orang galian, orang asli, kenyang aku berjalan merata hutan di negeri Darul Ehsan. Aku  melihat indahnya alam milik Allah yang asli dari mata mentah dan muda. 
 
Cuma yang tercicir pada ketika itu ialah,..
 
masa itu aku tidak bercita-cita langsung memetik lensa kamera merakam apa yang ku lihat. ... sebab tidak memiliki kamera dan tiada kecenderungan untuk membeli kamera.
 
walhal, kamera Nikon arwah kak Azlina sangat mahir aku gunakan semenjak dari usia aku 15 tahun.
Namun aku bersyukur dengan nikmat Allah itu.
 

 Pakis hijau ini sungguh cantik dan kelihatan tembus cahaya di bengkel usang sahabat kami yang bernama Sa'aya, pengusaha seramik di kampung Karai
 
Masa aku buat keputusan berhenti kerja muzium, aku menangis sungguh-sungguh. Hingga kini aku masih ingat lagi muka kawan-kawan muzium aku, terutama Pengarah muzium aku yang bernama Encik Paiman Keromo. Dengar-dengar beliau kini berkhidmat di Muzium Selat Teberau.
 
Demikianlah telah tertakdir perjalanan hidup aku yang akur dengan perjalanan yang telah disusun oleh Allah SWT.
 
Berkhidmat di enam buah sekolah selama 23 tahun dengan diberi kerajaan tiga kali anugerah cemerlang bukanlah perkara yang melayakkan aku berbangga untuk apa pun.,kerana aku tak semengah mana. 
 
Sebenarnya aku sangat malu dengan anugerah itu, yang aku rasa tidak layak. Ia di dasari atas kerja dunia yang dinilai oleh manusia yang ada strength and weakness. 
Pujian dan anugerah hanya layak  diberi oleh Allah sahaja. Terlalu banyak perkara yang aku lalai dan leka. Paling aku takut ialah perasaan takjub diri dan riak.
 
Cita-cita dan matlamat aku didunia setakat ini belum sampai lagi. Aku teringin sangat nak duduk tenang-tenang di satu tempat dimana dapat aku tinggal dalam kawasan yang sedang-sedang sahaja. Aku nak berjalan kaki dikawasan tersebut dengan pakaian Allah dan belajar ilmu-ilmu agama dengan ustaz yang berkarekter seperti ustaz Kazim yang sederhana dan merendah diri. SubhanaAllah, Maha Suci Allah alangkah bahagianya jiwa apabila dapat hadiah sebegini dari Allah.
 
 
 
Sarang labah-labah kelihatan tenang-tenang sahaja menjalur-jalur antara daun ke batang yang sempat ku curi pandang semasa melihat hujan berhenti dari bengkel Sa'aya di Karai.
 
MasyaAllah, SubhanAllah Maha Suci Allah Tuhan Yang Pengasih lagi Penyayang, semoga cita-cita tinggi aku itu terkabul oleh Mu sebelum aku menutupkan mata di dunia yang indah ini. Semoga ajal ku kelak dalam keadaan yang baik, bersangka baik dan baik-baik belaka. Insyallah..mudah-mudahan..Amin.

Wednesday, January 2, 2013

Air sirap satu, kopi ais satu, nasi dua pinggan setengah.Letak kuah saja, tak payah lauk.

Assalamualaikum sahabat yang ku kasih.

Selamat Tahun Baru 2013. Semoga hari-hari yang mendatang akan lebih bermakna dan terisi dengan wadah yang lebih bererti dalam kita menongkah arus kehidupan.

Tahun 2012 dilalui dengan penuh sederhana. Ada kisah suka dan duka...

seperti siang berganti dengan malam dan masa terus berputar.

Seperti mana sahabat-sahabat lain, aku juga turut  mendoakan diri sendiri,. agar diberi nafas dan kesempatan di bumi Allah yang indah ini,. untuk terus melayari hidup yang tidak tahu di mana kah penghujungnya.

Apabila aku sudah mulai masuk fasa penghujung usia 40 jalan ke 50 tahun, pandangan aku pada hidup telah berubah, selaras dengan kata-kata bukan pujangga....rumah kata pergi, kubur kata mari.
Tengahari tadi aku duduk makan dalam kedai dengan encik suami,.. di penghujung suapan nasi ku,. masuk sepasang suami isteri warga emas dalam kategori rakyat jelata yang susah seperti sang pengemis,. memimpin masuk mungkin cucu mereka yang rupa paras langsung tiada iras mereka. Kanak-kanak lelaki usia lebih kurang 3 tahun itu comel dan putih.

Aku biasa melihat mereka "bersiar -siar"  di pekan Kuala Kangsar dengan gaya yakin dan "arrogant".

"Kami nak nasi 2 pinggan setengah, letak kuah gulai satu, letak kuah lemak satu, letak sayur satu. Sayur tauge tak mahu, sayur lain boleh. Lauk tak payah. Orang miskin makan kuah saja dengan nasi. Air sirap satu, kopi ais satu"

( mereka masuk kedai, terus duduk, dan memesan makanan dan minuman.
Percakapan yang sama di ulang-ulang, dengan perhitung aku sebanyak  4 kali )
Baik suami ,.atau pun isteri ,..mereka bercakap dengan nada kuat dan yakin.
Riuhnya di tambah dengan cucunya yang tak mahu sayur kangkung, minta kuah lemak menjadikan suasana dalam kedai tengahari itu agak "meriah".

Aku lihat tauke kedai layan mereka seperti sudah "biasa", sebab mereka tidak melayan "serta merta"

Selesai aku menbasuh tangan di sinki, aku terus ke kaunter bayaran. Oleh kerana sikap semulajadi aku yang bersahaja, aku sempat "menyiasat" siapakah mereka...

"mereka dari Jeliang cikgu..."

ooo..Jeliang kat mana kak?

jalan ke manong, naik bas. Suaminya tu panas baran., ada sekali tu dia marah sungguh....
...............................................................
............................................................

ooo...

"kak,.saya bayar sekali untuk mereka.."
 .....sambil aku membetulkan duduk di kereta, encik suami mmemberi "ulasan selari" nya.

As usual,. aku keluarkan modal 2012 yang pernah dia katakan pada aku..

" You ingatkan... apa yang you pernah kata pada nie, ..

Orang naik basikal masalah dengan rantai basikalnya, orang naik mercedes dengan masalah mercedesnya. Siapa kita untuk menilai apa pun, kepada siapa pun.

Macam kita lihat orang lain,..macam ok je..tapi tak ok.

macam tu juga orang tengok kita, entah apa pandangan mereka pula....

.alah bang...sedang keluar dari satu perut pun perangai tak sama, dan tak faham pun siapa kita..."
 
Maka rakan-rakan yang ku kasih, permulaan untuk tahun baru 2013 ini,bersama-sama kita berdoa,. agar kita selalu memandang kehidupan disekeliling dengan rasa bersyukur.
 
Belajar menghargai orang-orang yang mengasihi diri kita.
 
Kuat dan tingkatkan ibadah kita pada Nya, Berusaha mencari masa bersendiri dengan Dia Yang Maha Pengasih dan Penyayang.
 
Berbakti dan berikhlas hati sesama makhluk di muka bumi ini...dan mohon pada Allah agar mati kita kelak dalam beriman, berbaik sangka dan mendapat pengampunan dan redha pada insan-insan yang mungkin kita pernah berdosa pada mereka.
 
Waullahualam.
 
Sekian,.terima kasih sudi meluangkan masa singgah dan membaca secebis catatan ku.