Friday, December 13, 2013

Berusahalah berbaik sangka dan ia adalah mulia di sisi Allah yang Maha Esa

Assalamualaikum sahabat pembaca  yang ku kasih,

Dalam kita menongkah arus hidup setiap hari, kita kan temui pelbagai karenah, perlakuan insan-insan di sekeliling kita.

Ada yang menyenangkan, dan ada yang kurang menyenangkan hati.


Bagi yang menyenangkan hati, sudah tentu kita akan tersenyum simpul.
Teriringlah kata-kata manis hingga masuk ke dalam hati atas sebab ia menyenangkan hati.

Jika yang kurang menyenangkan hati,
ketika itu
berlumba-lumbalah para syaitan ingin memenangi hati kita agar berburuk sangka.
Masyallah,

semasa itu akan timbul..
segala yang jahat-jahat
yang menguasai diri.

Maka akan ada rasa
benci
menyampah
meluat
tak kuasa lah aku
dan apa saja sangkaan yang tidak elok
Ia menerjah-nerjah dalam hati dan cuba menguasai akal kita.


Siapalah kita untuk berperasaan begitu,
sedangkan diri kita ini
ada
insan lain yang jengkel dan tidak senang pada perlakuan kita yang kita sendiri tidak sedari.


Maka bersesuaian lah diri kita yang bertaraf hamba Allah agar hidup baik-baik di bumi Allah yang indah ini.
Maka berbahagialah jiwa-jiwa yang selalu berbaik sangka. Dengan berbaik sangka sejahtera lah jiwa. 

Amanlah minda dari lintasan-lintasan hati yang menggusarkan, yang membikin jiwa kacau dan meletihkan jasad kita.

Selalulah berdoa kepada Illahi agar di kurniakan hati yang baik dan bersih dari sebarang kebencian.

Bersyukurlah kita pada Allah SWT yang telah memilih kita untuk menjadi seorang manusia, bukannya sebagai haiwan lain atau tumbuh-tumbuhan atau selainnya. 

Manusia itu adalah sebaik-baik kejadian yang Allah ciptakan di atas muka bumi ini.

Ya Allah, 

Engkau telah menciptakan aku dengan sebaik-baik penciptaan dan kejadian namun aku pula telah melakukan seburuk-buruk kejahatan dan amalan. 

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa dan kejahatan yang telahku lakukan. 

Golongkanlah daku di kalangan sebaik-baik hambaMu dan janganlah Engkau hina daku sebagaimana Engkau menghina hambaMu yang durhaka’.

Bolehkah kita mengubah manusia jadi baik?

Kita tidak mampu mengubah manusia lain jadi baik, tetapi kita boleh mengubah diri kita menjadi lebih baik, mudah=mudahan dengan perubahan kita itu akan turut sama membantu manusia disekeliling kita menjadi baik juga.


Setiap pagi yang baru, apabila membuka jendela, sungguh adakala kita alpa. Alpa dengan nikmat-nikmat percuma Allah pada kita.

SubhanAllah.
Setiap hari kita di beri cahaya baru oleh Allah Taala.
Sungguh kita sangat bersyukur dengan nikmat yang dilimpahkan.


Di sini ingin ku kongsikan potongan ayat-ayat dari Kitab Suci Al Quran. Mudah-mudahan kita yang alpa dan lalai kembali ke pangkuan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


SENTIASA BERSANGKA BAIK :

Firman Allah SWT:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu... dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah : ayat 216)



 SENTIASA BERBUAT BAIK


“Katakanlah: ‘Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhan-mu.’ Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

(Q.S. Az-Zumar[39]: 10





 
 
Allah berfirman :
 
 “Barang siapa yang berhijrah di jalan Allah niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
 
(An-Nisa: 100)


Ya Allah Maha Suci Allah yang menjadikan segalanya.
Kau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah, hamba Mu yang jahil,engkar dan lalai.Sungguh kecil diri ini dan hanya sekelumit ibadah yang ku balas anugerah Mu yang sangat Agung.

Kami yang selalu lalai dan alpa dengan perintah Mu,...maafkan kami wahai Allah.

Ya Allah,
aku tidak mampu menghitung/membatasi pujian/sanjungan terhadap-Mu.

Engkau adalah sebagaimana (pujian dan sanjungan) yang Engkau peruntukkan bagi diri-Mu sendiri.

Ya Allah, ya tuhan kami,

tunjukkanlah kami jalan yang benar, keluarkanlah kami daripada pelbagai kegelapan kepada petunjuk (cahaya iman), dan jauhilah kami daripada segala keburukan sama ada yang zahir ataupun yang tersembunyi.
Amin.

Monday, July 22, 2013

Maka beruntunglah kerana diri nya sendiri

Alhamdulillah,ku panjat syukur kepada Mu Ya Allah yang mendengar doa dan mengizinkan aku mengecapi kehidupan di dunia Mu yang indah dalam ketenangan ramadan yang datang dalam kuntuman senyuman.

 Seperti mana kuntuman senyuman dalam hati yang ingin mencari pengertian kehidupan yang lebih terisi dan bermakna.
Dalam keserabutan dunia yang tidak berhenti berputar dan berputar , aku hanya mampu menoleh pada kenangan lalu yang penuh dengan riang ketawa, tangis sendu, tragedi pedih.
 Sesungguhnya limpahan rezeki ketenteraman dan ketenangan jiwa bukan di ukur dari apa yang di lihat, tetapi kepada apa yang di ikat simpul dalam hati yang terkuntum pada nikmat Allah yang tidak di sangka-sangkakan.
Mana mungkin kita menganggarkan apa-apa yang ingin Allah beri, kerana itu adalah rahsia yang sudah termaktub sejak azali
 Bila manusia bersatu dengan alam , maka kekaguman pada Nya makin mekar.


Sujudlah kita pada Dia, mentaati Nya, menjauhi larangan Nya, dan berusaha sedaya upaya menjaga amanah Nya yang di anugerah Nya pada kita.


Kelalaian kita dan ketaksuban pada sesuatu sudah tentu mengurangkan siapa kita di sisi Nya.
Maka berulang kali kita pinta ampun dan maaf dalam tangis sendu yang keikhlasannya hanya Dia dan kita yang tahu.
 Ada kala kita merasa sangat sunyi dan sepi walau dalam hiruk pikuk dunia dan kesibukan menguruskan kehidupan.

Sudah tentu kesepian itu hanya kita sahaja yang mengerti kerana tidak akan ada manusia lain yang faham hatta mereka yang terhampir dengan kita.

 Apakah akan tiba masa dan ketika nya kita benar-benar menyerah keseluruhan jiwa dan raga kepada pencipta kita dengan sebenar-benar ketulusan hati tanpa sebab musabab, ganjaran mau pun lintasan pandangan.
Allahuakbar, maka beruntunglah hamba Nya yang boleh dibegitukan dengan mudah dan bersahaja kerana dirinya sendiri.


 Apabila melihat kelekaan dan kelalain diri kita, luluh rasa hati dan akan berkatalah janganlah begitu, marilah kita sama-sama menuju kepada jihad Nya yang sentiasa menerima taubat hamba Nya.
Iblis dijadikan bersama nafsu sahaja dan malaikat di jadikan bersama akal sahaja. Kitalah yang paling beruntung kerana dijadikan bersama akal dan nafsu.
Kita juga akan keliru dengan diri kita perbuatan kita itu sebab akal atau sebab nafsu.
Apabila usia semakin menyurut, keinsafan diri manusia tidak sama menyurut ikut usianya.

Ujian susah senang datang bersilih ganti dan kitalah orang yang beruntung sekiranya bermuhasabah diri, bertaubat, berubah  beribadah sepanjang hayat kita sementara menanti daun nama di pohon Arasy gugur tanda berakhinya penghidupan kita di dunia Allah.


Mudah-mudahan Allah mendengar doa dan taubat hamba Nya. Waulahualam.

Wednesday, July 10, 2013

Kehidupan kita yang tidak sama

 
Assalamualaikum sahabat blogger dan silent reader yang aku kasih.
Pagi 1 Ramadan 1434H yang tenang dilalui dengan penuh kesyukuran oleh seluruh umat Islam yang memahami konsep ibadat ini. Melalui maklumat aku difahamkan Ramadan  dalam bahasa arab di sebut Ramadh yang bermaksud panas membakar, kepanasan batu dari kepanasan cahaya matahari.
Walau siapa pun kita, dan dimana pun kita berada, kehidupan perlu diteruskan. Adakala gelombang yang dilalui sangat dahsyat dan adakala biasa-biasa dan tenang.


Banyak sudah pengalaman yang kita lalui dari kehidupan dan bahawasanya atas diri kita sendiri untuk menilai dan muhasabah diri dari apa yang telah berlaku. Dalam kehidupan manusia sudah tentu ada yang sangat bernasib baik dan ada yang kurang bernasib baik.


Buat aku, dunia kerjaya dan peribadi semakin mematangkan aku agar melihat dunia ini adalah hanya sebagai kayu pengukur menguji tahap keimanan dan keikhlasan hamba Nya mentaati perintah Nya dan menjauhi larangan Nya. Ada kala aku sendiri merasa kan mengapa begitu, mengapa tidak begini.
Siapakah kita untuk mempersoalkan segala percaturan hidup yang telah di susun atur oleh perancang terhebat kehidupan  kita sejak azali lagi. Sebagai manusia biasa, yang mampu kita lakukan adalah menerima seadanya, berusaha memperbaiki segala kelemahan dan kekhilafan diri.
Secara sedar atau tidak sedar sebenarnya kehidupan kita dikelilingi dengan insan-insan yang mengasihi kita dan juga yang kita kasihi. Maka perlu apakah lagi kita persoalkan untuk apa-apa pun.
Seharusnya kita bersyukur dan mengukir senyuman, betapa bertuahnya kita dilimpahi Rahmat Nya dan menimba begitu banyak pengalaman yang sebenarnya mematangkan kita.
Aku berdoa tahun demi tahun bersama kita lalui dengan tekun dan ikhlas kepada Nya, agar sama-sama kita mendapat keberkatan dari Nya. Amin.

Monday, June 10, 2013

Gerun akan Dia

Assalamualaikum sahabat yang ku kasih,

Sejak kebelakangan ini aku rajin mengambil gambar awan gemawan di daerah ku.


Allah yang Maha Berkuasa

..semasa aku memetik pemicu kamera, perasaan aku takjub..

takut..

tunduk dan takwa..

hingga kini bila menatap foto ini aku rasa gentar dengan kuasa Allah yang akan menghumbankan kita semua dalam api neraka jahanam atas segala kelalaian kita pada perintah Nya dan melanggar larangan Nya samada secara sengaja atau tidak sengaja


 Dengan ikhlas hati marilah kita bersama hayati surah Al Humazah sebagai  peringatan diri sendiri.


 BismillahirRahmanirRahim

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

 Al-Humazah

 [1] Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji,

[2] Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;

[3] Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!

 [4] Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam “Al-Hutamah”.

[5] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Al-Hutamah” itu?

[6] (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya), -

[7] Yang naik menjulang ke hati;


[8] Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka.

[9] (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.

Tuesday, May 14, 2013

Allah yang mencipta

 
Bismillahirahmanirahim
SubhanAllah Maha Suci Allah yang menjadikan setiap kejadian

Assalamualaikum sahabat blogger yang ku kasih,

Aku bersyukur kerana setiap hari kita  masih lagi diberi kesempatan oleh Allah untuk melihat keindahan alam walau pun dalam kesibukan waktu yang entah untuk apa-apa, banyaknya tentang perihal dunia.

Namun aku gembira kerana kita masih di beri kesempatan oleh Dia untuk kita membaca dan menghayati potongan ayat dari surah Al Quran yang kita sayang .

 
Namun cita-cita aku untuk menulis sedikit pengalaman baru aku tidak dapat aku tunaikan kerana masa yang sungguh cemburu. Semakin berusia dapat aku rasakan banyak  tanggung jawab hamba Allah  yang terpikul di bahu kita semua.
 
Apa tah lagi dengan diri yang dapat aku rasakan tidak "fit ' kala usia 30an, yang kini nak masuk ke alam 50an.

 
Maka adil bahawasanya dan aku sentiasa sedar, demikianlah fitrah semua makhluk serta alam yang Allah cipta, dari pucuk muda, ia  akan tua dan kering serta mati. 

Maka dengan insaf diri marilah kita bersama menghayati sepotong ayat dari Allah Yang Maha Esa
 

Dan Dia lah yang menghantar angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan),hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati, lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu,kemudian kami keluarkan dengannya berbagai jenis buah-buahan.Demikianlah pula kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang yang telah mati,supaya kamu beringat.
(Surah Al A'raaf : ayat 57 )


Mudah-mudahan kita semua insaf diri dan beringat-ingat dengan lidah, mata dan perilaku kita di dunia ini. Terima kasih sudi singgah :-)


Monday, May 6, 2013

Usah bermegah-megah

Assalamualaikum sahabat blogger yang ku kasih,

Kebiasaannya, aku jarang sekali merangka apa yang hendak ku tulis. Maka, bagi pembaca blog ini sudah tentu agak "pening" membaca bahasa aku yang lintang pukang sebab itu ialah "bahasa hati" aku.

Secara peribadi, aku bukan peminat arena politik,di saat ini aku sedang mendengar-dengar di hujung telinga dari pengacara tv,...menunggu, kalau-kalau ada pengumuman  ~ cuti khas 6 Mei 2013 sempena PRU 13. Pada aku siapa pun yang menang atau kalah sepatutnya cuti khas di beri. Pandangan aku adalah atas faktor pengundi yang pulang ke kampung halaman dan ia berlaku hanya 5 tahun sekali.

Dari minggu lepas lagi, rakan aku yang dilantik sebagai petugas SPR di PRU 13, bergelut membuat preparation. Bagi yang dilantik jadi ketua saluran undi  kalut mengisi borang tertentu SPR di celah timbunan buku-buku pelajar yang juga perlukan perhatian.

Aku memang terkeluar dari kategori "part time" apa pun termasuk menanda kertas SPM atas dasar " tidak bercita-cita tinggi dan ingin menjadi "rakyat biasa sahaja".

Namun,kebebasan aku itu berakhir,... apabila, baru-baru ini aku dilantik secara rasmi oleh JPN untuk bertugas secara rasmi, menjadi wakil Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk tugas yang memang aku elak dari zaman aku berkerja di negeri Darul Ehsan. Tugas itu adalah tambahan dari menjadi tugas pendidik.

Suka tak suka aku kena harungi perjalanan rasmi tersebut dengan redha dan semoga Allah bersama-sama aku. Telah pun ku pesan pada mereka yang bakal ku "ziarah" apa kah yang perlu ada, dan "lawatan"aku itu adalah untuk menolong menyelesai masalah jika ada, dan untuk permudahkan amanah mereka yang terpikul dibahu masing-masing.

Aku berdoa pada Allah agar Allah selalu bersama aku,permudahkan urusan aku dengan kawan-kawan lain. Aku akui,.. aku kurang senang mencari kesilapan dan kesalahan apa tah lagi menegur  dan perlu pula diperbaiki diri mereka. Aku insaf kita manusia lemah dan tidak sempurna, tetapi bukan semua manusia suka di tegur kesalahannya.

Aku kena berhati-hati dan berhemah mengguna kata-kata yang sesuai.  Maka sedarlah aku..bukan senang menjadi "tegas pada tempatnya" sebab aku ni mudah "cair dan memaafkan".
Baru-baru ini aku mendapat hadiah yang sangat bermakna dari sahabat aku yang bernama Cikgu Hajah Noraini Abdul Majid yang ku panggil nama Noni. Walau pun aku ada naskah tersebut, namun naskah tafsir Al-Qur'an yang diedar oleh Telaga Biru ini sangat aku suka atas sebab-sebab tertentu. Terima kasih Noni,..dengan bait-bait kata pesan beliau :

Kak Azni cayang,

Al Quran itu cahaya
Al Quran itu kebenaran
Al Quran itu penawar duka
Al Quran itu ketenangan

Sebarkan Al Quran walau pun sepotong ayat
Berdakwah sepanjang hayat
Untuk akhirat

Salam Kasih Nan Abadi ~ Noni

Aku memang suka membaca dan hadiah tafsir Al Quran adalah tepat pada masa nya...disaat anjakan usia yang banyak mengubah persepsi diri aku pada dunia dan kehidupan yang indah ini.

Dengan insaf diri marilah kita hayati :

Surah At Takathuur ( Bermegah-megahan)
Surah ke 102 : 8 ayat

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1. Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba untuk mendapat sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak-pinak,pangkat dan pengaruh)

2.sehingga kamu masuk kubur

3.jangan sekali - kali (bersikap demikian)!Kamu akan mengetahui kelak.
 
4. Sekali lagi (diingatkan) : jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibat yang buruk pada hari Kiamat).

5. Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin.

6. (Ingatlah)! demi sesungguhnya!kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

7. Selepas itu, demi sesungguhnya,kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)".

8. Kemudian kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat ( yang kamu telah menikmatinya).
 
 
SubhanAllah Maha Suci Allah, terima kasih untuk segala nikmat dan anugerah Mu Ya Allah.
 
Sekadar berkongsi ayat yang ku petik dari seorang pujangga
Kita adalah
 
apa yang kita baca
apa yang kita tonton
apa yang kita dengar
apa yang kita lihat
 
Hakikatnya
 
Itulah makanan rohani kita
 
dan
 
mata kita adalah jendela hati
 
Terima kasih pada kalian yang sudi singgah dan menghayati bait-bait kata dari ku.Wassalam.